Friday, March 16, 2012

Fatwa zakat boleh dilabur perlu dinilai semula

15 Mac 2012
BANGI, 15 Mac: Pelaburan harta zakat di Malaysia perlu dinilai kembali, kata Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri seorang pendakwah bebas.
Hal ini, katanya kerana zakat adalah hak mutlak lapan golongan yang digelar asnaf zakat iaitu orang faqir, miskin, amil zakat, golongan muallaf, hamba yang membebaskan dirinya daripada perhambaan, golongan yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah Taubat ayat 60.

“Selagi mana lapan golongan ini wujud maka yang wajibnya ialah mengagihkan zakat kepada mereka,” jelasnya.

Menurutnya, melaburkan harta zakat akan mendedahkan harta zakat kepada tiga keadaan, iaitu sama ada menangguhkan agihan zakat kepada mereka, atau menghalang zakat sampai kepada mereka sepenuhnya, atau mendedahkan harta zakat kepada kerugian perniagaan menyebabkan hilangnya wang zakat yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Kerana itu, jelasnya kebanyakan ulama semasa tidak membenarkan pelaburan wang zakat.

Malah, katanya ulama yang mengharuskan pelaburan wang zakat mensyaratkan bahawa pelaburan hanya boleh dibuat selepas keperluan asnaf zakat telah dilunaskan.

Katanya, keputusan Lembaga Fiqh menyebut “harus secara dasarnya menggunakan wang zakat dalam projek-projek pelaburan yang berakhir kepada memberikan pemilikan kepada asnaf zakat atau pelaburan oleh agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dan mengagihkan zakat dengan syarat ianya berlaku selepas dilunaskan keperluan yang mendesak lagi segera bagi golongan yang berhak dan juga dengan syarat adanya jaminan-jaminan sepenuhnya tidak berlaku kerugian".

Beliau berkata, ada dua persoalan yang perlu dirungkai di sini dalam konteks pengurusan zakat di Malaysia.

Pertamanya, kata beliau adakah segala keperluan asnaf zakat telah ditunaikan, sehingga segala orang faqir dan miskin sebagai contoh telah terbela.

Kedua, soalnya adakah di sana terdapat perniagaan dan pelaburan yang tidak terdedah kepada kerugian.

“Praktik semasa agensi zakat di Malaysia telah mendedahkan beberapa kegagalan pelaburan zakat seperti yang berlaku pada beberapa negeri,” katanya.

katanya lagi, untuk memastikan semua asnaf zakat telah mendapat hak mereka, penilaian kembali pengurusan institusi zakat sedia ada sangat perlu untuk dilihat sejauh mana ia benar-benar telus dan amanah.

Di samping itu, ujarnya menilai kembali ketelusan agihan harta zakat di semua negeri-negeri di Malaysia.

Selain itu, katanya pengurusan zakat seluruh Malaysia diletakkan di bawah pemantauan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Wakaf, Haji dan Zakat tanpa menafikan hak setiap negeri untuk memungut dan mengagihkan zakat.

Hukum Pelaburan Menggunakan Wang Zakat

Tarikh Keputusan: 
3 Jun, 2009
Keputusan: 
Menetapkan bahawa pada dasarnya harta zakat tidak harus dilaburkan. Bagaimanapun, sekiranya agihan zakat telah dibuat dengan sempurna kepada semua asnaf yang berhak memilikinya, lalu didapati masih ada lebihan, maka adalah harus harta zakat tersebut dilaburkan atas maslahah ‘ammah tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :
(i) Majlis Agama Islam Melaka dapat memberi jaminan bertulis bahawa harta asal zakat yang  dilaburkan adalah tetap harta zakat dan begitu juga keuntungannya hendaklah dikembalikan kepada akaun zakat untuk dibelanjakan kepada asnaf yang berhak setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
(ii) Ada jaminan bertulis bahawa Majlis Agama Islam Melaka bersedia untuk membayar balik  kesemua jumlah harta zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat jika berlaku kerugian dalam  pelaburan;
(iii) Ada jaminan bertulis bahawa harta zakat yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada  bila-bila masa apabila ada keperluan mendadak di mana harta zakat itu perlu diagihkan;
(iv) Pelaburan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
(v) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan yang hendak  diusahakan menggunakan harta zakat dan perlu dipastikan ianya terjamin selamat;
(vi) Hendaklah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka bagi memastikan dasar-dasar syariat terpelihara ; dan
(vii) Pelaburan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/07; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002
Negeri:
Berdasarkan fatwa, sekiranya terdapat lebihan zakat setelah dicari asnaf  yang berhak di seluruh pelusuk negeri dan tidak terdapat lagi asnaf yang layak menerimanya barulah lebihan tersebut boleh digunakan untuk PELABURAN.

Yang menjadi persoalannya ialah maksud 'lebihan' yang disebut dalam fatwa di atas sedangkan kebanyakkan pihak berkuasa zakat menunjukkan akaun lebihan setiap tahun. Pihak berkuasa zakat perlu menubuhkan skuad mengesan asnaf bagi memastikan zakat dapat disalurkan dan tidak berlaku lebihan yang nampak seolah-olah disengajakan.

adakah peristiwa amil zakat mencari asnaf di seluruh jajahan takluk negara Islam namun tidak menjumpainya pada zaman Khalifah Umar bin Abd. Aziz akan berulang lagi di zaman ini.


1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.