Friday, March 1, 2013

Taubat Tunggu Seru

Taubat Tunggu Seru

Oleh :
Dr. Zaharuddin Abd Rahman

tanyalah_ustaz_second
Berikut adalah catatan yang dilakukan oleh seorang pendengar terhadap ulasan secara langsung saya di slot Tanyalah Ustaz siri 3 pada tarikh 23 Disember 2012.
Bacaan ayat 10-13, surah Nuh:
surah_nuh
Ayat ini mengisahkan bagaimana kaum Nabi Nuh diminta untuk bertaubat. Kadang-kadang kita mungkin nampak senang pada zahirnya – ada pekerjaan yang bagus, keluarga yang ramai namun masih rasa tiada ketenangan, atau kerasa ada kekosongan dalam kehidupan. Kekosongan yang dirasai itu adalah kefakiran yang dirasai apabila seseorang tidak bertaubat kepada Allah SWT. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan ibu bapa, pemimpin-pemimpin rakyat, ketua organisasi untuk mengajar dan mengingatkan agar anak-buahnya untuk bertaubat. Dalam ayat ini juga Allah berikan tips untuk mendapatkan harta yang banyak, umur yang diberkati, anak yang soleh atau untuk mendapatkan zuriat adalah dengan membanyakkan bertaubat.

Ada satu kisah taubat yang hebat yang dicatatkan dalam kitab Al-Isabah Fi Tamyiz As-Sahabat oleh Imam Ibn Hajar. Namun riwayat kisah ini disebut sebagai antara lemah dan sangat lemah. Sahabat ini bernama Sa’labah bin Abdul Rahman Al-Ansori, dan dia diamanahkan membuat satu kerja oleh Nabi SAW. Ketika dalam tugasan itu, dia ternampak aurat seorang wanita yang sedang mandi. Dia melihatnya sehingga 3 kali kerana kuatnya tarikan maksiat itu. Dia kemudian tersedar, beristighfar dan berasa sangat malu kepada Allah. Dia menjadi sangat risau kerana dia adalah orang yang rapat kepada Nabi SAW, dan dia malu jika ada wahyu diturunkan menceritakan kesalahannya kepada Nabi SAW. Lalu, dia pun melarikan diri bersembunyi ke pergunungan sehingga Nabi SAW pun tercari-cari. Setelah hampir 40 hari, Nabi SAW mengarahkan sahabat, ‘Umar dan Salman, pergi mencarinya, dan diriwayatkan bahawa Jibril datang kepada Nabi dan berkata, “Ada seorang daripada kamu yang bersembunyi di pergunungan dan meminta keampunan daripada Allah dan takut kepada api neraka”. Dikatakan bahawa Sa’labah berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya dan meminta Allah mematikannya dalam keadaan bertaubat, dan agar dia dilindungi daripada tidak berpakaian di akhirat nanti kerana dosanya melihat wanita tidak berpakaian.

‘Umar dan Salman menemui Sa’labah, tetapi dia keberatan bertemu Rasulullah SAW, dan berharap agar kembali ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat. Permintaanya itu dikabulkan, dan mereka sampai ketika Nabi SAW sedang mengerjakan solat sunat Dhuha. Maka mereka pun menunggu sehingga Nabi SAW selesai solat. Setelah selesai, Nabi SAW pun melihat Sa’labah dan bertanya apa yang berlaku. Dalam keadaan malu, Sa’labah menceritakan apa yang berlaku. Kemudian, Nabi SAW berkata, “Kamu nak tak aku ajarkan satu doa yang dapat memadam dosa-dosa dan kesilapan yang lalu?” Jawab Sa’labah, “Sudah pasti, Ya Rasulullah”. Lalu Nabi SAW mengajarkan doa "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar", seperti yang dipetik daripada ayat 201, surah Al-Baqarah:
rabbana
Setelah mendengar doa itu, Sa’labah berkata, “Tetapi, dosaku besar sungguh”. Nabi SAW pun berkata, “Ayat Allah lebih besar”. Sa’labah pun balik dan mengamalkan doa itu, tetapi hatinya remuk dan masih tidak berasa tenang dengan dosa yang telah dilakukannya itu. Dia menangis siang dan malam sehinggalah jatuh sakit. Setelah 8 hari sakit, sahabat memberitahu kepada Rasulullah SAW dan mereka pun pergi melawat Sa’labah. Ketika melawatnya, Rasulullah SAW meletakkan kepada Sa’labah ke atas ribaannya, tetapi Sa’labah mengangkat dan mengalihkan kepalanya. Nabi SAW pun bertanya, “Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku?”. Jawab Sa’labah, “Kerana aku terlampau berdosa”.

Kemudian Nabi SAW bertanya lagi, “Apakah yang kamu inginkan?”. Jawabnya, “Aku hanya inginkan keampunan daripada Allah SWT”. Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi SAW bahawa Allah berkata, “Sekiranya dia ini datang kepada-Ku dengan dosa yang sebesar bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga keampunan-Ku”. Perkara ini pun diberitahu kepada Sa’labah dan ketika itu juga dia pun nazak dan meninggal dunia. Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat melihat Nabi SAW berjalan bertinjit-tinjit (berjalan dengan hujung jari kaki dengan berhati-hati seolah-olah tidak ingin melanggar sesuatu). Lalu ditanya oleh sahabat mengapa Nabi SAW berjalan sebegitu rupa. Baginda pun menjawab, “Kerana terlalu ramainya malaikat yang bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak kepak-kepak dan sayap mereka”.

Hari ini, berapa antara kita yang pernah melihat pornografi, namun tidak pernah rasa malu atau menangis di hadapan Allah. Jadi, mari kita sama-sama muhasabah diri kita.

Kita tidak boleh meminta orang bertaubat bagi pihak kita, contohnya meminta bantuan ustaz. Ada satu kisah seorang yang datang selepas zaman para Tabiin. Khalifah Hisyam datang ke masjid dan bertanya kepada seorang yang bernama Salim bin Abdullah, “Ya Salim, adakah apa-apa yang kamu ada hajat kepadaku sebagai khalifah?” Salim berkata, “Aku malu untuk meminta daripada selain Allah sedangkan aku berada di dalam rumah Allah”. Khalifah itu pun berkata, “Kalau begitu, nanti setelah keluar daripada masjid kamu datanglah meminta kepadaku”.

Setelah berada di masjid seketika, Salim pun pergi berjumpa khalifah di luar masjid. Khalifah pun berkata, “Sekarang kamu telah berada diluar masjid, maka mintalah apa yang kamu inginkan”. Salim pun bertanya, “Ya Amirul Mukminin, aku nak minta tentang hal dunia atau akhirat kepadamu?”
Jawab khalifah, “Tentulah hal dunia, kerana aku tidak beri apa-apa di akhirat”. Kemudian, Salim pun berkata, “Dalam keadaan aku tidak meminta dunia dari Allah pemilik dunia, bagaimana mungkin untuk aku meminta dunia daripada orang yang sebenarnya bukan pemilik dunia”.

Salim ini sebenarnya memang tidak ingin meminta apa-apa, dan dia hanya ingin memberi pengajaran kepada khalifah itu sahaja. Begitulah dengan kita, jika ingin bertaubat, minta pada Allah, bukan pada manusia.

Ada satu lagi kisah seorang sahabat, Lubabah, yang tidak sengaja terbocorkan rahsia Nabi SAW kepada orang kafir. Dia kemudian tersedar dan segera balik bertaubat dan mengikat dirinya ke tiang masjid. Cerita ini sampai kepada Nabi SAW dan Nabi bertanya apa yang berlaku kepadanya. Setelah diceritakan, Nabi pun berkata yang dia sepatutnya datang meminta Nabi memohon maaf baginya. Nabi SAW pun membiarkan dia mengikat dirinya dan setelah 6 hari barulah sampai berita gembira bahawa Allah telah mengampunkan dirinya. Setelah sampai berita itu, sahabat pun datang memberitahunya dan ingin membuka ikatannya. Dia melarang dan meminta Nabi SAW yang membukankan ikatan itu. Nabi SAW pun datang membukanya dan mereka pun sama-sama bersyukur dengan pengampunan yang Allah berikan itu.

Jika ada orang kafir yang tertarik dengan Islam, ketahuilah bahawa segala dosa yang kamu pernah lakukan akan diampunkan sebaik kamu memeluk Islam.
Sebagai kesimpulan, bersegeralah kita semua dalam bertaubat sebagai mengikut teladan yang ditunjukkan pada sahabat Nabi SAW. Dalam surah An-Nisa’, ayat 17, Allah berfirman dan menyatakan kepentingan untuk segera bertaubat:
nisa_17
Senarai soalan dan jawapan:
S: Saya biasa berhubung dan rapat dengan makcik atau sepupu yang membuka aurat di hadapan saya. Adakah saya perlu bertaubat kerana berhubung dengan mereka?
J: Perlu lihat keadaan – jika hubungan rapat tidak melibatkan perbuatan dosa kepada Allah, tidak mengapa kerana akhlak yang baik adalah lebih utama daripada kata-kata yang baik. Jika begitu, dosa ini masuk ke dalam dosa kecil. Walaupun kecil, jangam dipandang kecil dosa tersebut kerana kita perlu melihat kepada siapa dosa itu dilakukan – iaitu Allah Yang Maha Besar. Dosa-dosa kecil akan terhapus dengan kita mendirikan solat 5 waktu. Walapun begitu, dalam bergaul kita perlu menjaga pandangan mata agar tidak menaikkan nafsu syahwat sepertimana firmat Allah yang mengarahkan agar orang mukmin untuk menundukkan pandangan mata yakni menjaga daripada memandang sesuatu yang boleh menaikkan syahwat.

S: Adakah dikira bertaubat, jika kita beristighfar setelah melakukan kesilapan atau kita perlu melakukan solat taubat terlebih dahulu?
J:  Sebagai teladan, kita kena melihat bagaimana kefahaman para sahabat. Dalam satu kisah disebutkan bahawa Sy. Abu Bakar  As-Siddiq lalu di hadapan 3 sahabat iaitu Bilal bin Rabah, Sulaiman dan Suhaib Ar-Rumi. Tiga sahabat ini melihat Abu Suffian (yang belum memeluk Islam ketika itu dan menjadi ketua orang kafir) dan berkata, “Alangkah baiknya jika kami dapat meletak pedang di lebernya”. Abu Bakar terdengar perkataan itu dan menegur kerana hari itu merupakan hari gencatan senjata, dan perkataan tersebut boleh menimbulkan provokosi. Cerita itu sampai kepada Rasulullah SAW, dan baginda berkata kepada Abu Bakar, “ Abu Bakar, kamu mungkin telah menyebabkan sahabat kamu marah dan kamu telah menyebabkan Tuhan kamu marah kepada kamu”. Mendengarkan itu, Abu Bakar segera pergi berjumpa sahabat yang tiga orang tadi dan memohon maaf daripada mereka. Dia bertanya jika perkataanya menyebabkan mereka marah kepadanya. Daripada kisah ini dapat dipelajari bahawa sahabat tidak menunggu untuk berwudhuk atau solat sebelum meminta maaf kepada orang yang disakiti atau diambil haknya itu.

Dalam satu lagi kisah, Nabi SAW ternampak Abu Mas’ud (bukan Ibnu Mas’ud) memukul hambanya yang melakukan kesalahan. Nabi SAW pun menegur, “Ya, Abu Mas’ud, sesungguhnya Allah lebih memberi hukuman berbanding kamu”. Mendengar kata-kata itu, Abu Mas’ud pun berasa bersalah lalu membebaskan hamba tersebut. Abu Mas’ud tidak cuba mencari alasan atau justifikasi untuk membela perbuatannya itu. Kemudian Nabi SAW pun berkata yang jika dia tidak membebaskan hamba itu tadi, ada kemungkinan satu pintu neraka akan dibuka untuknya juga. Oleh itu sebagai pengajaran kepada kita, jika tersilap atau melakukan dosa dengan manusia, segera minta maaf pada mereka. Kemudian, boleh dirikan solat sunat taubat sebagai penyempurna taubat. Jika kesalahan pada Allah, barulah kita solat sunat taubat kepada Allah.

S: Bagaimana untuk bertaubat nasuha, kerana saya takut saya akan mengulangi kesalahan yang sama?
J: Ramai antara kita yang salah faham konsep taubat nasuha. Dalam satu hadis, ada diceritakan kisah seorang yang bertaubat dan mengulangi kesalahannya sehingga 3 kali dan Allah katakan buatlah apa yang kamu perlukan, Aku telah mengampunkan kamu. Oleh itu, takut mengulangi dosa tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bertaubat. Kita mesti bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi dosa itu. Jika terulang juga kesalahan itu, bertaubatlah lagi.

S: Saya ada melakukan dosa kepada bekas suami dan keluarganya dan ingin meminta maaf kepada mereka. Tetapi niat saya disambut sepi dan saya terasa dihina oleh mereka. Patutkah usaha saya ini diteruskan?
J: Ini dosa yang melibatkan manusia. Kita perlu mengambil teladan daripada kisah Abu Bakar yang diceritakan tadi. Sy. Abu Bakar tidak ada rasa terhina untuk meminta maaf  kepada sahabat yang lebih rendah kedudukan berbanding dirinya. Niat kita meminta maaf mestilah ikhlas kerana Allah. Oleh itu, tidak kiralah jika sama ada niat itu disambut sepi atau dihina oleh orang sekalipun, ianya perlu diteruskan. Kita mengharapkan redha Allah, bukannya sambutan ‘permaidani merah’ oleh manusia.

S: Adakah boleh bertaubat bagi pihak ibu bapa yang sudah meninggal? Betulkah ada bahagian harta yang boleh difidyah kerana ibu bapa meninggal dan meninggalkan solat dan puasa?
J: Anak boleh bertaubat jika dosa ibu bapa melibatkan mengambil hak orang lain dengan memulangkan hak tersebut. Seterusnya, kita boleh bersedekah bagi pihak ibu bapa dengan harapan pahala itu akan dapat mengatasi dosa yang ibu bapa lakukan. Begitu juga, jika ibu bapa ada melakukan kesalahan kepada orang lain, sebagai anak, kita boleh pergi berjumpa dan meminta maaf bagi pihak ibu bapa kepada mereka yang pernah dizalimi. Puasa yang ditinggalkan boleh diganti oleh anak  dan dibayar dengan fidyah, tetapi solat yang ditinggalkan tidak boleh diganti oleh orang lain.

S: Adakah kaedah untuk menghalang kita mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan?
J: Panduan yang diberi Nabi SAW adalah seperti berikut:
  • Ikhlaskan betul-betul taubat kerana Allah
  • Tinggalkan manusia yang mendorong kepada maksiat seperti kisah seorang yang membunuh 99 orang, seperti yang diceritakan dalam hadis Nabis SAW di dalam kitab ‘Riyadus Solihin’. Jika tempat kerja mendorong kepada maksiat, jangan takut untuk berhenti kerana rezeki kita bukan di tangan manusia tetapi Allah yang berikan. Tinggalkan juga sahabat atau orang yang dicintai yang mengajak kepada maksiat.
  • Banyakkan bersedekah kerana ianya boleh melindungi kita daripada ditipu oleh dunia.

Tambahan – jangan bertaubat dengan meminta kepada manusia seperti dalam agama Nasrani. Oleh itu, jangan bercerita kepada ustaz tentang dosa yang pernah dilakukan. Hanya tanya cara bertaubat, dan buat seperti apa yang diajar. Jangan juga meminta ustaz bertaubat bagi pihak kita.

S: Bagaimana mencari jalan keluar daripada riba yang telah diambil?
J: Kita kena sedar bahawa dosa riba itu sangat besar, lebih besar daripada dosa berzina dengan ibu sendiri, seumpama berperang dengan Allah dan rasul-Nya. Kita perlu hentikan segera perbuatan riba. Jika kita terpaksa kehilangan harta yang banyak untuk menghentikan, maka jangan berkira kerana tujuan kita adalah keredhaan Allah.

Friday, March 16, 2012

Fatwa zakat boleh dilabur perlu dinilai semula

15 Mac 2012
BANGI, 15 Mac: Pelaburan harta zakat di Malaysia perlu dinilai kembali, kata Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri seorang pendakwah bebas.
Hal ini, katanya kerana zakat adalah hak mutlak lapan golongan yang digelar asnaf zakat iaitu orang faqir, miskin, amil zakat, golongan muallaf, hamba yang membebaskan dirinya daripada perhambaan, golongan yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah Taubat ayat 60.

“Selagi mana lapan golongan ini wujud maka yang wajibnya ialah mengagihkan zakat kepada mereka,” jelasnya.

Menurutnya, melaburkan harta zakat akan mendedahkan harta zakat kepada tiga keadaan, iaitu sama ada menangguhkan agihan zakat kepada mereka, atau menghalang zakat sampai kepada mereka sepenuhnya, atau mendedahkan harta zakat kepada kerugian perniagaan menyebabkan hilangnya wang zakat yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Kerana itu, jelasnya kebanyakan ulama semasa tidak membenarkan pelaburan wang zakat.

Malah, katanya ulama yang mengharuskan pelaburan wang zakat mensyaratkan bahawa pelaburan hanya boleh dibuat selepas keperluan asnaf zakat telah dilunaskan.

Katanya, keputusan Lembaga Fiqh menyebut “harus secara dasarnya menggunakan wang zakat dalam projek-projek pelaburan yang berakhir kepada memberikan pemilikan kepada asnaf zakat atau pelaburan oleh agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dan mengagihkan zakat dengan syarat ianya berlaku selepas dilunaskan keperluan yang mendesak lagi segera bagi golongan yang berhak dan juga dengan syarat adanya jaminan-jaminan sepenuhnya tidak berlaku kerugian".

Beliau berkata, ada dua persoalan yang perlu dirungkai di sini dalam konteks pengurusan zakat di Malaysia.

Pertamanya, kata beliau adakah segala keperluan asnaf zakat telah ditunaikan, sehingga segala orang faqir dan miskin sebagai contoh telah terbela.

Kedua, soalnya adakah di sana terdapat perniagaan dan pelaburan yang tidak terdedah kepada kerugian.

“Praktik semasa agensi zakat di Malaysia telah mendedahkan beberapa kegagalan pelaburan zakat seperti yang berlaku pada beberapa negeri,” katanya.

katanya lagi, untuk memastikan semua asnaf zakat telah mendapat hak mereka, penilaian kembali pengurusan institusi zakat sedia ada sangat perlu untuk dilihat sejauh mana ia benar-benar telus dan amanah.

Di samping itu, ujarnya menilai kembali ketelusan agihan harta zakat di semua negeri-negeri di Malaysia.

Selain itu, katanya pengurusan zakat seluruh Malaysia diletakkan di bawah pemantauan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Wakaf, Haji dan Zakat tanpa menafikan hak setiap negeri untuk memungut dan mengagihkan zakat.

Hukum Pelaburan Menggunakan Wang Zakat

Tarikh Keputusan: 
3 Jun, 2009
Keputusan: 
Menetapkan bahawa pada dasarnya harta zakat tidak harus dilaburkan. Bagaimanapun, sekiranya agihan zakat telah dibuat dengan sempurna kepada semua asnaf yang berhak memilikinya, lalu didapati masih ada lebihan, maka adalah harus harta zakat tersebut dilaburkan atas maslahah ‘ammah tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :
(i) Majlis Agama Islam Melaka dapat memberi jaminan bertulis bahawa harta asal zakat yang  dilaburkan adalah tetap harta zakat dan begitu juga keuntungannya hendaklah dikembalikan kepada akaun zakat untuk dibelanjakan kepada asnaf yang berhak setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
(ii) Ada jaminan bertulis bahawa Majlis Agama Islam Melaka bersedia untuk membayar balik  kesemua jumlah harta zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat jika berlaku kerugian dalam  pelaburan;
(iii) Ada jaminan bertulis bahawa harta zakat yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada  bila-bila masa apabila ada keperluan mendadak di mana harta zakat itu perlu diagihkan;
(iv) Pelaburan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
(v) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan yang hendak  diusahakan menggunakan harta zakat dan perlu dipastikan ianya terjamin selamat;
(vi) Hendaklah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka bagi memastikan dasar-dasar syariat terpelihara ; dan
(vii) Pelaburan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah.
Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
19 Nov, 2009
Nombor Rujukan: 
JMM/BFB(S)/351/255/02/07; PUNM. 700-02/37
Akta/Enakmen: 
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (NEGERI MELAKA) 2002
Negeri:
Berdasarkan fatwa, sekiranya terdapat lebihan zakat setelah dicari asnaf  yang berhak di seluruh pelusuk negeri dan tidak terdapat lagi asnaf yang layak menerimanya barulah lebihan tersebut boleh digunakan untuk PELABURAN.

Yang menjadi persoalannya ialah maksud 'lebihan' yang disebut dalam fatwa di atas sedangkan kebanyakkan pihak berkuasa zakat menunjukkan akaun lebihan setiap tahun. Pihak berkuasa zakat perlu menubuhkan skuad mengesan asnaf bagi memastikan zakat dapat disalurkan dan tidak berlaku lebihan yang nampak seolah-olah disengajakan.

adakah peristiwa amil zakat mencari asnaf di seluruh jajahan takluk negara Islam namun tidak menjumpainya pada zaman Khalifah Umar bin Abd. Aziz akan berulang lagi di zaman ini.


Wednesday, September 28, 2011

HUDUD

HUKUM JENAYAH ISLAM
 
 1.     Pengertian Jenayah.
        Melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah S.WT. atau meninggalkan sesuatu perkara yang
        disuruh olehNya.
 2.    Falsafah Jenayah.
  Peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.WT. untuk dilaksanakan dalam sesebuah negara bagi
  menjamin keadilan dan keselamatan ummah.
  

HUKUM-HUKUM JENAYAH ISLAM

 Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada ;

(a)  Hukum Hudud
(b)  Hukum Qisas

(c)  Hukum Ta’zir

A.  HUKUM HUDUD

 1.      Pengertian Hudud;
         (a) Dan segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh.
         (b) Dan segi segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas
              Al-Quran dan AsSunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T. Kadar hukumannya
              tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah. 
        Maksudnya;
                             “Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu
                              mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka
                              itulah orang-orang yang zalim”
 2.      Jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya
         (a) Zina;
        Persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan.
        Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina

                           yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.
         (b) Qazaf (menuduh zina);
              Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik.
       
Hukuman : sebat 80 kali

         (c) Minum arak;
              Meminum minuman yang memabukkan  dan  boleh menghilangkan kewarasan akal.
       Hukuman : sebat 40 kali


  (d) Mencuri;
              Mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi.
 
      Hukuman : potong tangan

        (e) Merompak;
              Mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman.
       Hukuman :
        sekiranya membunuh hendaklah dibunuh
sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong  tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya.
sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara

  (f) Riddah (murtad);
     Keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan.
Hukuman : Bunuh
( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3 kali )
            # Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain spt penjara @  wang.
  

B. HUKUM QISAS

 
1. Pengertian qisas;
(a) Dan segi bahasa qisas bermaksud memotong.
(b) Dan segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas A1-Quran dan Hadis-hadis Nabi saw. kerana kesalahan­-kesalahan yang melibatkan hak individu.
 
2.   Jenis jenayah qisas;
      Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.
 3.   Hukuman terhadap kesalahan qisas;
       Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.
 Maksudnya;
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya”             (Surah al-Maidah ayat 45)

Diat
Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas.

Kadar Diat

Kadar diat adalah dikira mengikut bilangan  unta iaitu harta yang paling bernilai ketika itu.Kadar penuh diat ialah 100 ekor unta. Walau bagaimanapun, para ulama' berpendapat boleh mengantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Di antaranya ialah;
                     a) wang emas = 1000 dinar
                     b) wang perak = 10,000 - 12,000 dirham
                     c) lembu            = 200 ekor
                     d) kambing      = 2000 ekor
                     e) Persalinan   = 200 persalinan lengkap
a. Diat jenayah membunuh.
1.  Pembunuhan sengaja -  100 ekor unta secara terus (tanpa tangguh) yang terdiri drp ;
                     a)   30 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)
                     b)   30 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)
                      c)   40 ekor Hulqah 
# Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qishas @ diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qishas bunuh dikenakan.
2. Pembunuhan separuh sengaja - 100 ekor unta spt di atas tetapi bayaran boleh ditangguhkan sehingga 3 tahun.
3. Pembunuhan tidak sengaja - 100 ekor unta dan ditangguhkan sehingga 3 tahun yang terdiri drp ;
                   a) 20 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)
                   b) 20 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)
                   c) 20 ekor Bintu Labun (unta betina berumur 3 tahun)
                   d) 20 ekor Ibnu Labun (unta berumur 3 tahun)
                   e) 20 ekor Bintu Mukhad (unta betina berumur 2 tahun)

# Hukuman bagi jenayah Pembunuhan separuh sengaja dan Pembunuhan Tidak Sengaja adalah Diat sahaja. Qishas tidak dikenakan.
       * Diat perempuan 1/2 drp diat lelaki
       * Diat hamba 1/2 drp diat merdeka
       
# Pembunuhan Sengaja ialah membunuh dengan niat.
# Pembunuhan Separuh Sengaja ialah spt seorang memukul orang dengan tongkat @ melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang tersebut. (tanpa niat membunuhnya)
# Pembunuhan Tidak Sengaja ialah spt seorang yang tertembak rakannya yang disangkanya binatang buruan.
# Bagi jenayah membunuh, pembunuh hanya boleh diampunkan oleh warisnya sahaja. Pemerintah tidak ada kuasa dlm pengampunan.
b. Diat jenayah mencederakan anggota

1. 100 ekor unta untuk anggota tunggal spt terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
2. 50 ekor unta untuk anggota yang berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu drp kaki atau tangan, mata dan  telinga.
3. 33 ekor unta untuk luka al-Ja'ifah (luka hingga ke dlm bhg otak)
4. 33 ekor unta untuk luka Al-Ma'muumah ( luka yang sampai ke selaput kepala)
5. 25 ekor unta untuk anggota yang 4  bahagian (pasang) spt kelopak mata. Setiap satu kelopak mewakili 25 unta.
6. 10 ekor unta untuk luka Al-Hasyimah (luka yang memecah @ mematahkan tulang)
7. 15 ekor unta untuk luka Al-Munqilah (luka yang sampai ke tulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya).

8.10 ekor unta untuk anggota yang ada 10 bahagian spt jari tangan dan jari kiri. Setiap satu jari jika patah mewakili 10 ekor unta.

9. 5 ekor unta untuk luka Mudhihah @ Muwadhdhohah (luka yang menampakkan tulang)

 C. HUKUM TA’ZIR
 
       1. Pengertian ta’zir.
      (a) Dan segi bahasa ta’zir bererti menolak atau menghalang.
(b) Dan segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.
 2.      Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategoni ta’zir;
      (a)     Kesalahan-kesalahan hudud atau qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas.
(b)     Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab dan sebagainya.
(c)      Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.

      3. Hukuman bagi kesalahan ta’zir.
              (a)  Nasihat;
              Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.
 (b)  Teguran;
                Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha untuk memperbaiki dirinya.
 (c)   Ancaman;
               Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.
 (d) Pemulauan;
               Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersempit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.
 (e)  Perisytiharan umum;
              Membuat pengisytiharan kepada umum terhadapkesalahan penjenayah. Dengannya penjenayah berasa tertekan dan malu yang amat sangat.
            (f)  Denda dan merampas harta;
                   Iaitu hukuman ta ‘zir dengan denda berbentuk kewangan dan merampas harta yang dimiliki oieh penjenayah.
            (g)  Penjara;
                   Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut   pertimbangan realiti smasa.
          (h)  Sebat;
                   Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu mengikut reaiiti             semasa.
           (i)   Bunuh;
                  Hukuman bunuh bagi kesalahan ta’zir dibenarkan oleh syarak bagi menjaga kemaslahatan umum masyarakat.
          (j)   Buang daerah;
                 Hukuman ini dikenakan supaya penjenayah berasa tertekan, mengalami kesusahan dan tersisih akibat  dipisahkan dari kaum keluarga dan sahabat handai.

Matlamat  Hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir

       (a) untuk melindung masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku.
 (b) untuk memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah.
      (c) untuk membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.
 
 
Peranan undang-undang jenayah Islam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat
         (a)   Undang-undang jenayah Islam menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Misalnya orang yang membunuh
                dihukum bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang perasaan dendam.
 (b)  Hukuman jenayah Islam yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah. Akhirnya kehidupan masyarakat aman dan sejahtera.
 (c)   Hukuman jenayah Islam men­gandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan yang dilakukannya. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam masyarakat.

Wednesday, October 6, 2010

ADAKAH KITA HAMAN BARU...

Manusia jenis Haman ialah berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata/ pekerja sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Apa yang lebih malang apabila ada yang faham agama tetapi sanggup menjual agama demi dunia sehingga timbulnya pendapat bahawa dalam mendidik manusia hanya perlu kepada amar makruf sahaja tanpa perlu kepada nahi mungkar kerana bila telah banyak program kebaikan maka manusia akan jadi baik dengan sendiri tanpa perlu kepada pencegahan sedangkan bila kita lihat dalam negara lebih banyak program yang merosakkan berbanding program mendidik sehingga meningkatnya jenayah, pecah amanah dan sebagainya. Jika rakyat terus terpesona dengan tipuan ini maka rosaklah kita. Bila rakyat hanyut dengan hiburan maka negara dijajah dengan kejahatan, bila rakyat boleh dijual beli maka system negara terus rosak binasa. Ingatlah suatu pesanan Rasulullah s.a.w

قال الرسول : مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِي إِلا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَاب يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ ويََقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بِعْدِهِمْ خُلُوْفُ يَقُوْلُوْنَ مَالا يَفْعَلُوْنَ وَيفْعَلُوْنَ مَالا يُؤْمَرُوْنَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ لَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإيمْاَنِ حَبَّةَ خَرْدَلٍ –-  رواه مسلم

Maksudnya : Tiada seorang nabi pun yang Allah utus kepada umat sebelum aku melainkan terdapat pada umatnya itu penolong dan para sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan mengikut perintahnya. Setelah generasi mereka, datanglah generasi yang hanya pandai bercakap apa yang tidak dibuat. Mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya maka dia juga seorang yang beriman. Tiada lagi keimanan selepas itu walaupun sebesar sawi