JADUAL KHATIB






RUKUN- RUKUN KHUTBAH

1. Memuji Allah Taala

Tertentu dengan lafaz الحمد لله atau احمد الله atau نحمد الله atau الله احمد atau الله الحمد atau انا حامد الله .

Tidak memadai dengan lafaz الحمد للرحمن atau الشكر لله dan sebagainya.

2. Membaca Selawat

Tertentu dengan lafaz اللهم صل على محمد atau نصلى على محمد
atau diganti lafaz محمد dengan lafaz النبي / احمد / العاقب / حاشر / الماحي / البشير / النذير .

Tidak memadai dengan سلم الله على محمد atau رحم الله محمد

3.  Wasiat dengan takut kepada Allah

Walaupun tidak dengan lafaz wasiat sekalipun

Memadai dengan lafaz اطيعوا الله atau اتقوا الله .

Tidak memadai dengan semata menakuti daripada perhiasan dunia kerana itu adalah sedia maklum walaupun oleh kafir maksiat.

4.  Membaca satu ayat Al-Quran yang difahami.

Tidak memadai membaca setengah ayat walaupun panjang.

Tidak memadai satu ayat yang tidak memberi faham seperti ن

Memadai ayat itu dibaca di dalam salah satu daripada 2 khutbah.

Sunat dibaca pada akhir khutbah pertama.

Sunat dibaca Surah Qaf pada akhir khutbah pertama setiap Jumaat kerana mengikut Nabi tetapi berhasil pahala sunat dengan membaca setengah surah tersebut.

 5.  Membaca doa berkenaan urusan akhirat untuk orang Islam dalam khutbah kedua.

Memadai menentukan doa bagi segala yang mendengar seperti katanya رحمكم الله

Tiada memadai menentukan doa itu bagi mereka yang ghaib.

Tidak mengapa membaca doa bagi Sultan dengan tentunya jika tidak berlebih-lebihan dalam menyatakan sifatnya.

Kata Sheikh Ibnu Abdus Salam tidak harus memuji Sultan dengan sifat yang dusta kecuali kerana dharurat.

Sunat membaca doa bagi segala Sultan yang Islam dan tentera mereka dengan kebaikan dan kemenangan.


Peringatan – Rukun yang 3 di atas mesti ada di dalam khutbah pertama dan khutbah kedua.

SYARAT SAH KHUTBAH

Khatib berdiri jika berkuasa kerana mengikut Nabi.

Jika tak mampu hendaklah duduk. Jika tak mampu maka baring dan harus mengikutnya walaupun tak diketahui uzurnya ia pada zahirnya ma’zur.

Rukun Khutbah Dalam Bahasa Arab.

Jika tiada yang tahu dan tak sempat belajar sebelum habis waktu maka boleh dengan bahasa sendiri.

Wajib belajar bagi semua orang, maka jika ada yang sempat belajar tetapi tak belajar maka berdosa kesemuanya sekali dan tidak harus Jumaat ketika itu tetapi hendaklah diganti dengan Zohor.

Yang disyaratkan hanya mendengar khutbah bukan faham.

3. Khatib Duduk Antara Dua Khutbah Serta Tama’ninah.

Jika tak mampu duduk maka hendaklah diam seketika.

Begitu juga yang tak mampu berdiri maka hendaklah diam seketika.

Sunat duduk sekadar membaca ( قل هو الله احد) hingga akhir.


4.  Dua Khutbah dibaca selepas gelincir matahari.

5.  Kesemua Rukun Didengari Oleh 39 Orang Makmum Dari Kalangan Ahli Jumaat Walaupun Tak Faham.

Khatib tak disyaratkan mendengar dan memahami maka sah walaupun ia tuli dan termasuk dalam bilangan 40 orang itu.

6.  Berturut-turut tiap-tiap kalimah daripada 2 khutbah dan antara 2 khutbah dan solat.

7.   Khatib Suci daripada hadas kecil dan besar.

Makmum tidak disyaratkan suci dari hadas.

8.  Khatib suci daripada najis yang tak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat.

Jika berhadas ketika khutbah hendaklah bersuci dan memulai semula dan tak boleh disambung walaupun singkat masa perceraiannya.

Jika berhadas antara khutbah dan solat maka bersuci dengan segera maka tiada mengapa.

Makmum tidak disyaratkan suci dari najis.
 
9.  Khatib Menutup Aurat.

Makmum tidak disyaratkan menutup aurat.

Peringatan

Tidak disyaratkan tertib antara rukun-rukun khutbah.
Tidak disyaratkan niat pada khutbah dan tidak disyaratkan meniatkan Fardhunya.

SUNAT – SUNAT KHUTBAH

Sunat berkhutbah di atas mimbar dan sunat mimbar di kanan mehrab.

Jika tiada mimbar maka hendaklah berkhutbah di atas tempat tinggi supaya sampai suara Khatib kepada sekelian manusia.

Sunat khatib memberi salam kepada semua yang hadir di sisi pintu masjid sebelum masuk ke masjid kemudian bila sampai ke mimbar maka sunat memberi salam kepada mereka yang di sisi mimbar dan bila naik ke atas mimbar dan berada di kedudukan tertinggi di bawah tempat berkhutbah maka sunat menghadap kepada orang ramai dan memberi salam dan kemudian sunat duduk di tempat berkhutbah ketika orang Azan agar dapat merehatkan diri dari penat naik ke mimbar.

Sunat Azan di hadapan Khatib dan setelah selesai Azan maka Khatib berdiri membelakang kiblat dan berkhutbah dengan nyaring.

Sunat Khatib tidak berpaling ke kanan, ke kiri dan ke belakang kerana itu semua bid’ah.

Makruh menumbuk anak tangga mimbar ketika naik dengan kaki atau tongkat atau pedang.

Makruh membaca doa tatkala sampai kepada anak tangga tempat berhentinya.

Makruh berhenti pada tiap anak tangga mimbar.

Makruh menyegerakan khutbah yang kedua dan memperlahankan suara padanya.

Makruh berlebihan memuji raja ketika berdoa.

Hendaklah khutbah itu sederhana tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.

Sunat Khatib memegang pedang atau panah atau tongkat dengan tangan kirinya dan diletakkan tangan kanan di tepi mimbar.

Selesai khutbah hendaklah segera turun daripada mimbar supaya sampai ia ke mehrab sebaik selesai Iqamah supaya terpelihara muwalat antara khutbah dan solat.

Sunat membaca dalam raakat pertama Surah Al-A’la dan rakaat kedua Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah.

Membaca Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun lebih utama daripada membaca Surah Al-A’la dan Surah al-Ghasyiah .

Jika ditinggalkan Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la pada rakaat pertama kerana lupa atau sengaja dan digantikan dengan Surah Al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah maka hendaklah dibaca pada rakaat kedua Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan jangan diulangi lagi Surah al-Munafiqun atau Surah al-Ghasyiah yang telah dibaca pada rakaat pertama.

Jika tidak dibaca pada rakaat pertama salah satu dari Surah Al-Jumuah atau Surah Al-A’la dan tidak juga Surah Al-Munafiqun dan Al-Ghasyiah maka hendaklah dihimpunkannya kedua surah itu pada rakaat kedua iaitu Surah Al-Jumuah dan Surah Al-Munafiqun atau Surah Al-A’la dan Surah Al-Ghasyiah dalam rakaat kedua.


Tersebut dalam hadis :

من قرأ عقب سلامه من الجمعة قبل أن يثنى رجله وقيتكلمالفاتحة والاخلاص والمعوذتين سبعا سبعا غفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر واعطى من اللأجر بعدد من امن بالله ورسوله وحفظ له دينه ودنياه واهله وولده

Ertinya :

Sesiapa yang membaca Surah Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas 7 kali setiap satu selepas salam Solat Jumaatnya sebelum dia mengubah kakinya dan sebelum berkata-kata, nescaya diampunkan Allah segala dosanya dahulu dan akan datang dan dianugerahkan pahala dengan bilangan orang yang beriman dengan Allah dan RasulNya, dan di pelihara oleh Allah agamanya, dunianya, isi rumahnya dan anaknya.